Monday, August 27, 2012

Piala Malaysia: Jang Jung ambil alih tugas cikgu Jan


BEKAS pertahanan import Perak awal 90-an, Jang Jung dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Kejor Yob Kejor bagi mengharungi aksi Piala Malaysia yang dijadualkan bakal bermula pada penghujung Ogos depan.

Ketika mengumumkan perkara berkenaan, Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, pelantikan bekas import dari Korea Selatan itu dibuat demi menggantikan sementara tempat ketua  jurulatih sedia ada, Norizan Bakar atau cikgu Jan yang bercuti setelah tamat saingan Liga Super 2012.

Jang Jung juga dijadualkan memulakan tugas menguruskan sesi latihan pasukan mulai 23 Julai ini dalam usaha membentuk skuad yang mantap demi mengharungi saingan Piala Malaysia 2012 kelak. “Hasil perbincangan, pihak pengurusan bersetuju melantik Jang Jung melatih Perak menjelang sepak mula kempen Piala Malaysia tidak lama lagi.

“Jang Jung akan dibantu oleh penolong jurulatih, Chong Yee Fatt serta jurulatih daripada skuad Piala Presiden, Abu Bakar Fadzim.

“Bagaimanapun, pelantikan Jang Jung ini tidak bermakna beliau akan mengambil alih terus tugas cikgu Jan sebagai ketua jurulatih Perak. Cikgu Jan masih memiliki kontrak bersama Perak,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Zainol Fadzi berkata, pihaknya bakal melakukan sedikit rombakan dari segi pengurusan skuad Liga Super dengan melantik ketua jurulatih skuad Piala Presiden 2012, Abu Bakar Fadzim selain jurulatih penjaga gol skuad Piala Presiden, Zamzuri Mohd Noor.

Katanya, jurulatih penjaga gol skuad sedia ada Abdul Talib Saidi pula akan diberi tanggungjawab untuk melatih skuad akademi bola sepak Perak.

“Inilah antara rombakan yang kita lakukan dalam usaha memantapkan lagi pasukan kita pada masa hadapan,” katanya. 


No comments:

Post a Comment