BUDAK gemuk! Budak gemuk! Budak gemuk! Sindiran sinis
seperti itu pasti menyakitkan hati mereka yang mengalami berat badan
berlebihan, terutama kanak-kanak atau remaja di bangku sekolah.
Namakan apa saja - gedempol, bulat, debab, gempal atau
obesiti - masalah itu pasti mahu dielakkan satu ketika dulu, sama ada bagi ibu
bapa atau individu itu sendiri.
Kini, bentuk badan berlemak dan besar bukan lagi
pertikaian bagi masyarakat kita yang semakin bersikap lebih terbuka dan
mementingkan keperibadian seseorang berbanding bentuk fizikal.
Umumnya, masalah berat badan berlebihan adalah masalah
global kerana dialami di setiap negara. Hampir satu bilion penduduk dunia
mengalami masalah lebihan berat badan dan 300 juta daripadanya mengalami
obesiti.
Malaysia juga tidak ketinggalan berdepan masalah ini,
yang mana menunjukkan peningkatan saban tahun sejak 15 tahun lalu.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan dijalankan
Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2011 mendapati, sebanyak 15.1 peratus rakyat
negara ini mengalami masalah berat badan berlebihan berbanding 4.4 peratus pada
1996.
Menurut Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan
Kesihatan KKM, Saiful Adli Suhaimi, 43 peratus orang dewasa di Malaysia
dikategorikan sebagai obes, 26 peratus lagi kanak-kanak sekolah rendah manakala
20 peratus di kalangan remaja.
“Obesiti terjadi apabila wujud lebihan lemak yang
menyebabkan pertambahan berat badan. Ia terjadi akibat pengambilan makanan yang
tinggi kandungan gula, garam, minyak dan lemak secara berlebihan.
“Keadaan ini semakin meruncing apabila gaya hidup tidak
aktif menyebabkan kalori pada makanan diambil tidak dapat dibakar dengan baik
lalu menyebabkannya disimpan dalam tubuh,” katanya.
Makanan bergula, garam dan berlemak adalah fenomena biasa
dan mudah didapati di negara ini. Masak lemak cili padi, nasi lemak, masak
rendang, mi goreng mamak dan roti canai antara makanan berlemak dan
berkolesterol tinggi yang sentiasa menjadi pilihan ramai kerana rasanya sedap.
Justeru, tidak dapat dinafikan, makanan tempatan yang
menjadi makanan rutin rakyat Malaysia antara faktor penyumbang utama kepada
masalah kegemukan.
Selain itu, kewujudan restoran dan gerai makanan yang
beroperasi 24 jam menggalakkan lagi tabiat buruk pemakanan.
Bangsar dan Kampung Baru misalnya, mendapat jolokan
syurga makanan bagi masyarakat kota kerana lebih separuh restoran dan gerai
makanan di sana beroperasi 24 jam sehari.
Pada masa sama, lambakan restoran makanan segera yang
sebahagiannya turut beroperasi sepanjang hari turut menjadi faktor penyumbang
kegemukan kerana ia sering menjadi pilihan generasi muda, khususnya pelajar
sekolah.
Apatah lagi, suasananya yang jauh lebih selesa serta
kemudahan Internet secara percuma menyebabkan mereka lebih gemar menghabiskan
masa di restoran makanan segera, sekali gus terbiasa makan makanan di sana.
Saiful Adli berkata, beberapa kaedah boleh digunakan
untuk mengukur tahap kegemukan seseorang, misalnya melalui Indeks Jisim Tubuh
(BMI).
“Bagaimanapun, orang ramai juga boleh menggunakan kaedah
ukur lilit pinggang dalam menentukan tahap obesiti. Secara purata, ukur lilit
pinggang bagi wanita hendaklah tidak melebihi 32 inci, manakala lelaki pula 36
inci.
“Jika ukuran pinggang melebihi lilitan itu, individu
terbabit boleh dikategorikan mengalami kegemukan atau obesiti,” katanya.
Apapun, masalah kegemukan atau obesiti boleh mengundang
pelbagai kesan buruk, sama ada daripada segi kesihatan fizikal mahupun mental.
Pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Rosni,
27, mengakui pernah mengalami tekanan perasaan kerana obes ketika zaman sekolah
menyebabkannya sering diejek kawan hingga membuatkan dirinya mudah terasa dan
berkecil hati.
“Memang jika difikirkan, tiada apa perlu dirisaukan
dengan saiz badan saya kerana ayah dan ibu juga mempunyai saiz badan sama.
“Namun disebabkan saiz saya jauh lebih besar daripada
rakan sekolah sejak sekolah rendah lagi, saya sering diejek dan dipanggil
‘giant’ (gergasi),” katanya.
Akibat selalu dipersendakan, Rosni akhirnya menyisihkan
diri dan banyak menghabiskan masa dengan menelaah pelajaran di rumah berbanding
bergaul dengan rakan sebaya.
“Walaupun mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran,
saya menghadapi masalah berkomunikasi dengan baik. Malah, dalam beberapa ujian
yang memerlukan komunikasi atau pembentangan, saya pasti mendapat markah
rendah.
“Terus terang, saya tiada keyakinan diri kerana bentuk
badan sebegini. Mana tidaknya, hendak mencari pakaian seperti budak remaja lain
pun sukar kerana saiz baju terhad.
“Memang membosankan kerana perlu berada di rumah hampir
setiap masa, tetapi ia jauh lebih baik daripada terus dipersendakan orang
ramai,” katanya.
No comments:
Post a Comment