DEFINISI : Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain.
Dosa mengumpat dan fitnah merupakan dosa yang melibatkan makhluk lain. Dosa seperti ini tidak diampunkan oleh Allah, melainkan orang yang diumpat dan difitnah itu sendiri memaafkan kesalahan itu.
Seandainya perkara ini tidak diselesaikan di dunia, maka akan dibawa pengadilannya ke akhirat. Pahala orang yang mengumpat dan memfitnah akan diberikan kepada orang yang diumpat dan difitnah. Sekiranya pahala sudah tidak mencukupi untuk diberikan, maka si pengumpat dan pemfitnah itu akan menanggung dosa orang yang diumpat dan difitnahnya.
Lihat, betapa besarnya kesan buruk dosa mengumpat dan memfitnah serta dosa-dosa lain yang melibatkan makhluk.
Lihat, betapa besarnya kesan buruk dosa mengumpat dan memfitnah serta dosa-dosa lain yang melibatkan makhluk.
Rasulullah S.A.W. menjelaskan mengenai mengumpat seperti sabdanya bermaksud :
"Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya"(Hadis Riwayat Muslim)
Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya.
Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ianya disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.
Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat.
Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya diakhirat.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat" (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)
Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.
Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya. Sabda Rasulullah S.A.W. "Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud)
Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud : "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.
Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat cacatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab : "Semua itu kebaikan (pahala) orang
yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".
Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis diakhirat nanti.
Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya.
Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.
Oleh sebab yang demikian, dengan berpandukan pengajaran hadis di atas, mari sama-sama kita melakukan muhasabah atas diri kita sendiri. Adakah sehingga kini, perbuatan kita itu sebenarnya adalah umpatan dan fitnah yang tidak kita sedari?
Jika ya, maka bersegeralah kita berhenti dan memohon kemaafan daripada mereka yang telah kita umpat dan fitnah.
Selain daripada itu, sama-sama kita gerakkan usaha kesedaran dan pencegahan agar tabiat berdosa tersebut dihindari oleh ibu bapa kita, ahli keluarga kita, jiran-jiran, sahabat-rakan kita dan umat Islam secara umumnya.
Mudah-mudahan mendapat manfaat dan barokah daripada Allah.
No comments:
Post a Comment