Saturday, August 11, 2012

Hukum Berjabat Tangan, Hukum mencium tangan, Hukum membongkokkan badan


1. Hukum Membongkokkan Badan
Adalah dimakruhkan membongkokkan badan kerana mahu menghormati seseorang.
Dari Anas r.a., katanya: Seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah s.a.w., jika seseorang dari kita bertemu saudaranya atau temannya, apakah dia perlu membungkuk kepadanya? Baginda menjawab: “Tidak.” Orang itu bertanya: “Apakah dia perlu memeluk dan menciumnya?” Baginda menjawab “Tidak.” Orang itu bertanya: “Apakah perlu dia memegang tangannya dan bersalam dengannya?” Baginda menjawa: “Ya.” (HR al-Tarmizi)
Hadis di atas bermaksud:
1. Makruh membungkukkan badan kepada seseorang.
2. Makruh memeluk dan mencium seseorang kecuali jika kembali dari bermusafir
3. Sunat berjabat tangan ketika bertemu.
Kita sering melihat mereka yang berada di atas pentas kerana berucap atau membuat persembahan. Sebelum atau selepas berucap atau membuat persembahan, mereka akan menundukkan badan sebagai tanda hormat kepada para hadirin. Perbuatan ini adalah dimakruhkan.

2. Hukum Mencium Tangan
Al-Nawawi mengatakan bahawa dianjurkan agar mencium tangan orang yang kemuliaannya disebabkan oleh perkara yang bersangkut paut dengan agama. Seperti seorang yang zuhud, alim/ulamak, soleh, warak dan sebagainya. Ini termasuklah kedua ibubapa kita yang muslim.
Dimakruhkah mencium tangan seseorang yang dipandang mulia dengan sebab-sebab keduniaan, seperti orang kaya, orang yang berpangkat, berkedudukan tinggi dan sebagainya. Perbuatan ini amat tidak disukai.
Dari Zari’ r.a., yang termasuk di dalam rombongan Abdul Qais, dia berkata: “Kamipun berlumba-lumba turun dari kenderaan kami, lalu kami mencium tangan dan kaki Nabi s.a.w.”
3. Hukum Berjabat Tangan/Bersalam
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Abu Qatadah berkata, aku bertanya kepada Anas r.a.: “Apakah para sahabat Rasulullah s.a.w. dahulu saling berjabat tangan” Dia menjawab: “Ya.” (HR Bukhari)
Dari al-Barraa’ bin Azib r.a., katanya telah sabda Rasulullah s.a.w.:
“Tidaklah dua orang Islam bertemu lalu saling bersalaman/berjabat tangan, melainkan diampuni dosa keduanya sebelum mereka berpisah.” (HR Abu Daud, al-Tarmizi & Ibnu Majah)
Dari Athaa’ bin Abdullah al-Khurasani, katanya Nabi s.a.w. telah bersaba:
“Hendaklah kamu saling berjabat tangan, nescaya hilanglah rasa dengki. Hendaklah kamu saling menmberi hadiah, nescaya kamu saling mencintai dan hilanglah permusuhan.” (Hadis Mursal riwayat Imam Malik)
Dari al-Barra”bin al-Azib r.a., katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Sesungguhnya jika dua orang Islam bertemu, lalu saling berjabat tangan, saling mengasihi dan saling menasihati, nescaya bertebaranlah dosa-dosa yang ada pada kedua orang itu.”? (HR Ibnu Sunni)
Hadis di atas adalah di antara hadis yang menunjukkan bahawa berjabat tangan ketika bertemu adalah sunat hukumnya.


No comments:

Post a Comment