SURAKARTA (Jawa Tengah)- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bangsa Melayu yang menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi bukan sahaja mampu mengembalikan ketinggian dan keteguhan tamadunnya sejajar dengan tamadun bangsa lain di dunia, bahkan boleh mengatasi tamadun bangsa lain.
  
Beliau menegaskan bahawa melalui penguasaan ilmu pengetahuan, bangsa Melayu akan berpeluang menggunakannya untuk memperbaiki kehidupan mereka dan meningkatkan tamadun serta kuasa, sebagaimana yang pernah dilakukan bangsa Eropah pada suatu ketika dahulu dengan mempelajari ilmu orang Islam.
  
"Seperti bangsa Eropah yang menyerap ilmu yang diterokai oleh orang Islam, kali ini pula etnik Melayu perlu kejar ilmu yang dikumpul dan diterokai oleh bangsa Eropah dan  bangsa-bangsa lain.
  
"Tetapi tidaklah memadai jika hanya menumpu kepada penguasaan ilmu yang sedia ada sahaja. Untuk menjayakan etnik Melayu, kaji selidik hendaklah dilakukan kepada ilmu yang ada dan ditokok tambah dengan ilmu yang baharu," katanya dalam syarahan umum bertajuk "Memperkasa Bangsa Melayu" di Universiti Sebelas Maret Indonesia (UNS-Solo),  Jawa Tengah, di sini Isnin.
  
Syarahan umum itu bersempena penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat Ilmu Sosial dan Budaya Bidang Kepimpinan dan Pemberdayaan Bangsa Melayu kepada beliau oleh Universiti Sebelas Maret Indonesia di kampus induk universiti itu di sini.
  
Anugerah itu bagi mengiktiraf sumbangan dan jasa Dr Mahathir dalam usaha meningkatkan martabat bangsa Melayu di peringkat dunia.

Dr Mahathir juga menekankan tentang pentingnya peranan institusi pengajian tinggi yang dapat memberi ilmu pengetahuan kepada seramai mungkin bangsa Melayu.
  
Dengan cara demikian, tamadun etnik Melayu dapat meningkat sehingga bangsa itu menjadi bangsa yang kesemuanya celik huruf dan berilmu kerana keadaan itu akan menyumbang kepada ketamadunan dan kekuatan.
  
"Kita hidup sekarang dalam zaman pengetahuan dan maklumat. Zaman ini berkembang maju kerana teknologi IT dan Internet membolehkan siapa sahaja mengejar dan memiliki ilmu tanpa had. Sementara alat-alat ini mempermudah proses menguasai ilmu, penggunaan alat-alat ini sahaja tidak memadai.
  
"Bangsa yang ingin memperolehi kekuatan, harus menguasai teknologi dan kemampuan mencipta dan mengeluarkan segala alat yang diguna dalam kehidupan manusia dan untuk menyebar ilmu," katanya.
  
Dr Mahathir berkata penguasaan teknologi dan teknik dalam bidang pembuatan misalnya boleh meningkatkan keupayaan mencipta, membangun dan mengeluarkan apa sahaja yang diperlukan oleh masyarakat etnik Melayu di zaman moden yang kian maju.

Sehubungan itu selain institusi pengajian tinggi seperti universiti, makmal-makmal untuk kaji selidik dan penerokaan dalam ilmu dan teknologi baharu dan yang lebih canggih, juga perlu dimanfaatkan kewujudannya oleh bangsa Melayu.
  
"Hari ini makmal yang utama ialah dalam bidang elektronik terutama design microchip yang semakin lama semakin tinggi kuasanya.
  
"Undang-undang Moores mendakwa bahawa kuasa mikrocip akan berlipat sekali ganda setiap satu setengah tahun. Dengan peningkatan kuasa mikrocip ini maka kegunaan dan kuasanya juga akan berlipat ganda, menjadi lebih pantas dan lebih halus," katanya.
  
Dr Mahathir percaya seandainya bangsa Melayu sanggup melabur wang yang banyak dalam usaha kaji selidik makmal seperti itu, mereka berkemungkinan besar dapat menyamai dan mungkin mengatasi tamadun Eropah dan tamadun lain juga.
  
Bekas perdana menteri Malaysia itu turut menekankan tentang pentingnya bangsa Melayu meningkatkan kecekapan dalam bidang pentadbiran dan pembangunan bangsa dan negara, selain  mengembangkan budaya dan nilai hidup yang sesuai dalam usaha membina sebuah tamadun bangsa  yang tinggi.
  
"Sesuatu yang amat penting untuk mendirikan tamadun yang tinggi ialah budaya dan nilai  hidup yang dipegang dan diamal oleh masyarakat berkenaan. Tidak ada puak atau etnik yang boleh membangunkan tamadun yang tinggi jika nilai hidup mereka tidak sesuai," katanya. -Bernama
pautan : sinar harian perak.