Thursday, July 26, 2012

Tak mudah jadi Ziana..

SAYA hanya membiarkan figura ini berehat seketika sebelum memulakan sesi penggambaran petang itu.
Katanya, tidak cukup tidur kerana pada malam sebelumnya dia sibuk dengan rakaman program raya terbitan sebuah stesen televisyen yang hanya tamat sekitar pukul 1 pagi.
“Kalau tidak dikuatkan semangat memang boleh pengsan dibuatnya," kata Ziana Zain berseloroh membuka bicaranya.
Saya hanya ketawa kecil melihat gelagat Ziana apabila berbicara. Memang itulah identitinya yang barangkali semua orang sudah tahu. Baik media mahupun peminat yang mengenalinya sejak 21 tahun lalu.
Perbualan kami dalam keadaan santai membuatkan saya cukup selesa untuk bertanyakan pelbagai soalan kepada Ziana.
Apa yang membuatkan saya kagum dengan bintang ternama ini apabila dia kekal menjadi pujaan dan kegilaan peminat selama lebih 20 tahun dalam industri seni. Dan yang lebih penting lagi, keunggulannya sebagai isteri dan ibu, yang terus mempertahankan keharmonian rumah tangga dibinanya sampai ke hari ini. Ketika banyak rakan artis seusianya sudah melalui berkali-kali episod pernikahan dan perceraian, Ziana adalah Diva yang mampu bertahan dalam segala sudut, kerjaya dan rumah tangga.
Terfikir juga apakah ilmu yang Ziana pakai sehinggakan peminatnya menjadikan dirinya sebagai idola. Apatah lagi untuk seorang penyanyi sepertinya yang sudah berkahwin dan memiliki empat orang cahaya mata, bukan mudah mengekalkan populariti.
Ziana terus dijulang dan diangkat oleh peminatnya untuk meletakkan penyanyi kesayangan mereka di puncak kegemilangan. Apa saja yang dikenakan pada badan, menjadi ikon peminat, justeru pelbagai produk ternama dalam dan luar negara menggunakan khidmat profesionalnya sebagai ‘pelaris’.
Sambil mengukir senyuman manis, wanita sofistikated ini mengangkat bahunya bagai memberi tanda bahawa dia sendiri tidak tahu mengapa dia begitu digilai.
“Saya percaya setiap artis ada perwatakan tersendiri yang membuatkan peminat terus setia bersama mereka. Begitu juga dengan saya.
“Selama 21 tahun menjadi artis, peminat adalah sumber kekuatan saya. Justeru, saya harus menjadi lebih dekat dengan mereka dan menganggap masing-masing sebagai adik-beradik.
“Rata-rata daripada mereka memberitahu lagu-lagu saya telah memberikan impak yang bukan sedikit kepada kehidupan mereka.
“Tidak hanya itu, karakter dan personaliti juga amat penting. Dari awal menjadi penyanyi, saya hanya menjadi diri sendiri. Saya percaya itu juga membuatkan seolah-olah saya hidup bersama-sama mereka selama ini," jelas penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Madah Berhelah pada tahun 1992 ini tanpa selindung.
Dalam usianya 44 tahun, Ziana masih lagi aktif dan bekerja keras. Tidak salah kalau melabelkannya sebagai seorang wanita hebat atau dalam erti kata lain superwoman.
Tetapi kata Ziana, sejauh mana dia pergi membawa jenama komersialnya itu dan menjadi pujaan peminat, jauh di sudut hatinya dia adalah Siti Roziana Zain yang juga seperti manusia lain.
Tidak sempurna
Benar. Ziana dilihat sebagai seorang wanita sempurna di mata masyarakat terutama kaum sejenis sehingga ramai yang mahu menjadi sepertinya.Tatkala disuarakan perihal itu, Ziana menerimanya dengan terbuka dan menganggapnya sebagai satu penghormatan.
Sedang asyik bersembang, tiba-tiba suaranya mula bergetar dan bicara kami terhenti seketika. Tanpa dipaksa dan disedari, air mata wanitanya mula mengalir.
Semuanya ketika dia menceritakan pahit getir dalam meniti laluan seni sebelum dia mampu menjadi seorang bintang mega seperti mana hari ini.
Jauh sekali dia mengimpikan untuk menjadi artis apatah lagi bintang yang boleh dikategorikan sebagai Gred A, kata Ziana, apa yang dikecapinya hari ini bukan datang bergolek.
Semuanya memiliki harga yang cukup tinggi dan pengorbanan yang dilakukannya juga bukan kecil-kecil anak.
“Percayalah, bukan mudah untuk menjadi seorang yang bernama Ziana Zain. Kalau masyarakat melihat saya sebagai seorang wanita sempurna, terima kasih tetapi saya juga manusia biasa.
“Di pentas, saya adalah Ziana Zain. Dunia realitinya, saya tetap Siti Roziana Zain- seorang anak, isteri, kakak dan ibu. Tugas saya sebenarnya cukup berat tetapi ia bukan satu beban.
“Sebaliknya ia adalah satu tanggungjawab dan saya melakukannya dengan ikhlas.
“Saya percaya berdirinya saya di pentas seni seperti mana hari ini semuanya adalah berkat doa ibu bapa saya yang tidak pernah putus-putus. Mereka tidak pernah lupa mendoakan kebahagiaan dan kejayaan untuk saya," ujar Ziana dalam nada yang tersekat-sekat sambil menahan sebak

No comments:

Post a Comment